Lebih kurang pukul 1 pagi waktu Malaysia aku selamat sampai di perkarangan rumah. Terima kasih abang, ambil Sarah lewat-lewat malam di lapangan terbang. Gelap gelita rumah kecil tempat aku membesar. Sunyi sepi. Tak banyak benda yang berubah selama 20 bulan aku di bumi Jordan. Bismillah, dengan nama Allah aku melangkahkan kaki. Rindu pada rumah batu ini.
Tak sempat nak pergi ketuk bilik ummi ayah, kakiku terhenti di ruang televisyen. Ummi sedang menongkat kepala menggunakan tangan kanannya di atas sofa hitam berbunga. Ayah baring mengiring di atas selimut yang dihamparkan di atas lantai. Televisyen tidak berfungsi. Anggapanku bahawa mereka sedang khusyuk menonton televisyen rupanya salah. Lena, lena dibuai mimpi kedua orang tuaku.
"Ummi....." Abang perlahan-lahan mengejutkan ummi yang baru nak lena.
"Tengoklah sini..." Ummi menyahut lalu perlahan-lahan menoleh kepalanya kearah aku. Perlahan. Perlahan sangat pergerakan kepalanya. Perlahan yang teramat. Bertentang mataku dengan mata ibuku. Lamanya tak menatap wajah ini. Sayu wajahnya. Susut tubuh badannya. Meja kecil di sebelahnya dipenuhi ubat-ubatan, air masak, minyak zaitun, habbatus sauda' dan yang berkaitan dengannya.
Ya Allah, benar sungguh, bahawa sesungguhnya aku hanya merancang dan Kau juga merancang, tapi perancanganMu lebih hebat dan sentiasa baik untuk hamba-hambaMu. Perancanganmu membuat aku tahu keadaan ibuku. Perancanganmu membuat aku dapat melepaskan rindu. Perancanganmu membuat aku berfikir untuk kesihatan ibu.
Terima kasih Allah.