Jika
gelas kaca bercorak bunga boleh diisi dengan air mangga, pinggan plastik yang
baru dibeli boleh diisi dengan nasi briyani, beg berjenama ‘POLO’ boleh diisi
dengan buku untuk pergi menuntut ilmu, maka percayalah bahawa satu ‘bulatan
gembira’ boleh diisi dengan seribu
tawa dan bahagia. Bukan gembira yang tiada hadnya, tetapi rasa bahagia yang
menyampaikan untuk menduduki syurga di akhirat sana. Firman Allah s.w.t dalam
Al-Quran yang mulia dalam Surah Az-Zukhruf ayat 67 :
اللأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين
Maksudnya : Teman karib pada waktu
itu (Hari Kiamat) saling bermusuhan antara satu sama lain kecuali orang yang
bertaqwa.
‘Bulatan
gembira’ idaman setiap jiwa. Rugi bagi sesiapa yang tidak memilikinya. Kerana
satu bulatan ini, ia mampu menjadi batu loncatan untuk kita dan sahabat-sahabat
merasai kenikmatan syurga Allah s.w.t. Siapa yang tak suka, apabila bertemu
mata dengan mata, kelopak hati mekar berbunga, hilang segala resah dan masalah
di jiwa, menu sedap dan lazat pembuka selera, gelak-tawa dan senyum mesra penambah
ceria, hidup terasa bagai di syurga, jauh dari kesedihan dan ujian dunia. ‘Bulatan
gembira’ lazimnya dilengkapi alunan ayat Yang Maha Esa,hadith Rasulullah difahami
dan diingati dalam minda, semuanya hanya bagi meraih redha Sang Pencipta, Allah
s.w.t. Sabda Rasulullah pada satu hadith hasan :
عن عبد الله بن عباس قال : أن النبي محمد يقول :
تركت فيكم أمرين لن تضلوا
ما تمسكتم بهما : كتاب الله وسنة رسوله
Maksudnya : Daripada Abdullah Bin
Abbas berkata, Nabi Muhammad s.a.w bersabda : Aku tinggalkan kamu dua perkara
dan kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh dengannya iaitu AlQuran
dan AsSunnah.
Terkadang
cemburu melihat ‘bulatan gembira’ sahabat-sahabat yang lain. Walaupun mereka
belajar di negara Eropah, tetapi ‘bulatan gembira’ mencorak diri dan jiwa
mereka kearah tarbiyah islamiyah yang kuat dan mantap, walaupun ada sahabat
yang hanya belajar di sekolah menengah biasa yang lazimnya kita tahu bahawa
institusi itu penuh dengan pancaroba, tetapi hasil istiqamahnya ke ‘bulatan
gembira’ dia mampu untuk menjadi permata berharga untuk Islam walau terpaksa
melalui pelbagai onak-duri, walaupun para ibu dan bapa yang kehidupan lampaunya
lambat dan lewat menerima Islam dengan sempurna, tetapi ‘bulatan gembira’ yang
mereka hadir menambahkan ilmu yang tidak pernah mereka perolehi, menerangkan
perkara yang mereka tidak ketahui, meyakinkan mereka bahawa tiada istilah
‘terlambat’ dalam mendalami agama Islam yang murni.
‘Bulatan
gembira’ bukanlah satu perkara biasa. Memang ia bukan satu kewajipan yang
digariskan Islam, tetapi kebaikan dan faedah yang keluar daripada ‘bulatan
gembira’ sangat banyak dan berkesan dalam kehidupan kita sebagai manusia biasa.
‘Bulatan gembira’ bukan hanya duduk bersentuh lutut, bukan tempat untuk menipu
diri sendiri untuk menjadi orang yang wara’, bukan satu waktu yang perlu
ditetapkan untuk menjadi tegas, bukan fatrah dilarang menyebarkan senyuman, bukan
majlis formal seperti yang kita bayangkan. Tidak sama sekali. Terkadang ‘bulatan
gembira’ berjalan ke luar kawasan. Melihat keindahan dan keunikan ciptaan
Ar-Rahman, berdiri di bumi realiti setelah duduk lama berdiskusi, menziarahi
para ulama’ yang dikatakan pewaris para anbiya’, melawati tinggalan sejarah
walau tidak sempat hidup bersama Rasulullah.
‘Bulatan
gembira’ satu medan yang punya seribu kebaikan. Kehidupan ibarat ada satu
sinaran yang gemerlapan apabila menghadiri ‘bulatan gembira’ yang mendekatkan
kita dengan Ar-Rahman. Sama-sama kita hidupkan ‘bulatan gembira’ di muka bumi
ini dengan harapan bulatan-bulatan ini yang berbondong-bondong berjalan masuk
ke syurga Allah yang Maha Pengasih. Ketahuilah bahawa syurga Allah hanya mampu
kita duduki apabila peroleh rahmat daripada-Nya. Maka yakinlah sesungguhnya
rahmat Allah itu sentiasa ada bagi mereka yang melazimi perkara-perkara yang
diredhaiNya.
Jom ber ‘bulatan gembira’ !