Tika jasad bersila di istanaNya,
Minda terbang memikirkan bagaimana sunnatullah bermula,
Anak kecil mampu ke medan ilmu pada hari seterusnya,
Seorang ibu tabah melahirkan
anak kedua dan ketiga,
Seorang ayah hari-hari memerah keringat demi permata tercinta,
Seorang pendidik tidak jemu mencurah ilmu yang berguna.
Aku yakin,
Mereka yang kini adalah kesan daripada mereka yang dulu,
Kekuatan mereka yang kini adalah kesan kekuatan mereka yang dulu,
Ketabahan mereka yang kini adalah kesan ketabahan mereka yang dulu,
Dan ISTIQAMAH mereka kini adalah kesan ISTIQAMAH mereka suatu
ketika dahulu.
Insan,
Mampu berubah pabila ada kemahuan,
Mampu berubah pabila ada titik permulaan,
Mampu berubah pabila kebaikan dijadikan suatu kelaziman,
Mampu berubah apabila ada tujuan dan impian.
Ramadhan,
Percayalah bahawa ia adalah satu pemberian,
Bukan hanya pelengkap 12 bulan,
Tapi ia medan kita membuat berjuta ibadah dan kebaikan,
Daripada terbit fajar hingga hilangnya ia daripada pandangan.
Satu bulan,
Empat minggu yang bercahaya dan penuh kebahagiaan,
Kulihat sekeliling berusaha melakukan sumbangan,
Kulihat sekeliling menekuni kalam Allah iaitu AlQuran,
Kulihat sekeliling berhati-hati menjaga percakapan,
Kulihat sekeliling mula melakukan perubahan.
Cukup,
Tersedar aku daripada renungan,
Kini kupunya satu kesimpulan,
Bahawa Ramadhan adalah kunci pembukaan,
Diiringi niat yang tulus kerana Ar-Rahman,
Ibadah kan pasti berkekalan,
Sebati dalam kehidupan seharian,
Tanpa rasa kekok untuk dilakukan,
Walau Ramadhan pergi dan kita masih meneruskan kehidupan.
Semoga kita dalam golongan yang punya kekuatan,
Semoga kita dalam golongan yang melakukan ibadah secara berterusan,
Semoga kita dalam golongan yang berserah diri kepada Tuhan,
Semoga kita dalam golongan yang memasuki syurga yang penuh
kenikmatan.
“Infinity of Istiqomah” bermula di Bulan Ramadhan.
Naib Johan Pertandingan Menulis Karya,
Persatuan Pelajar Islam Malaysia Mafraq,Jordan,
Ramadhan 1435H.