Aku Malu dengan Masa Lampauku



Maha Suci Allah yang memperjalankan Nabi Muhammad pada malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami.”
(Al-Isra’:1)

            Ayat cinta daripada Allah ini telah menambat dan mencengkam segenap naluri hati ini.Siapa tak tergamam,siapa tak terharu,siapa yang tak tertitis air matanya pabila ranjau hidupnya telah dipenuhi dosa-dosa yang hitam pekat tapi akhirnya Allah masih bawa terbang jasadnya untuk menduduki ruang bumi yang Dia berkati.

          Masjidil Aqsa adalah sebuah masjid yang kini ditawan oleh Yahudi laknatullah di bumi Palestin.Dan Jordan adalah negara yang sangat hampir dengan Palestin.Di penghujung negara Jordan ada sebuah laut yang terletak di Aqabah yang mana laut ini pemisah antara negara Jordan dan Palestin.Dua kali ziarahku ke laut Aqabah,hujung lirikan mata ini tak terlepas daripada meninjau tanah Palestin di hujung laut sebelah sana.Kelihatan bendera Israel laknatullah tertegak di sana sebagai tanda bahawa Palestin dibawah jajahan mereka laknatullah.

            Apa yang pasti,kakiku kini berpijak di atas muka bumi Jordan,salah satu negara yang berhampiran dengan Palestin yang mana Allah sebut dalam AlQuran bahawa dia memberkati sekeliling negara ini.Realiti yang tak pernah kujadikan impian dan harapan dalam kehidupan untuk mengecapinya.

            Aku yang dulu dan aku yang sekarang.Tika ada masa terluang dalam 24jam hidupku,pita rakaman kotak minda ini automatic akan berputar melayarkan cerita lampau yang kulalui dulu.Ada saat ku tersenyum,sedih,rindu dan ada juga membuatkan aku malu atas apa yang telah aku lakukan suatu ketika dahulu.Zaman kejahilanku penuh dengan pancaroba,antara diri dengan kawan,antara kawan dengan ibu bapa,antara pelajaran dengan keseronokan,hampir setiap pertembungan yang berlaku pasti aku terpilih keputusan yang salah dan mendatangkan keburukan kepada orang tersayang.

            Aku yang dulu dan aku yang sekarang.Sampai saat ini aku masih percaya bahawa Allah sayangkan diriku dengan teramat sayang.Kesayangan yang tiada tandingannya.Walau dah bergelumang dengan dosa-dosa tapi Allah masih beri peluang dan ruang yang amat berharga untuk kuperbaiki diri ini.Ruang dan peluang yang jika aku tidak perolehinya pasti hidupku kini tenggelam dalam lautan syurga dunia.           

Aku malu dengan masa lampauku.Tetapi dengan pengetahuan bahawa Allah itu Maha Pengampun,Allah itu Maha Penerima Taubat membuatkan aku yakin bahawa sesungguhnya Allah tidak akan pandang cerita hitamku jika aku berusaha untuk terus mencorak kehidupan baru dengan perkara-perkara yang diredhaiNya.Tika syaitan menghilangkan keyakinanku, pantas aku mengulang empat ayat akhir Allah yang termaktub dalam surah Al-Fajr :

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠﴾

Maksudnya: “Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai; lalu masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku”

            Allah,Dia Tuhan yang betul-betul Maha Penyayang.Yakinlah dengan Dia.Tiada istilah terlambat untuk pulang ke sisi-Nya,bermanja dengan Dia,memohon kebaikan untuk diri kita.Pulanglah,pulanglah dengan hati yang tenang dan ikhlas.Pulanglah…

            Believe me, nobody can start a new beginning,but anyone can start today to make a new ending.Please believe in yourself when others don’t,because Allah believes in you,my dear J


_praktikkan ilmu di hati menjadi realiti_